1/3 Malam
“Puasa paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah, iaitu Muharam, sedangkan solat paling utama selepas solat wajib adalah solat malam (tahajud).” Hadis riwayat Imam Muslim
“Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Israa’: 79)
Rasulullah SAW seorang insan dijamin Allah akan masuk syurga. Baginda juga sebaik-baik manusia, malah digelar sayyid al-Mursalin, iaitu penghulu segala Rasul. Baginda insan maksum dan bebas daripada sebarang bentuk dosa.
Walaupun dengan kedudukan sedemikian, Baginda tetap bersungguh-sungguh mengerjakan solat tahajud sehingga pecah tumit kakinya. Isterinya Aisyah r.a melihat sendiri kesungguhan luar biasa Baginda ini dan beliau hairan kenapa Rasulullah masih ingin bersusah payah melakukan ibadat itu sedangkan dia seorang yang dijamin syurga.
Kisah ini disampaikan Aisyah r.a sendiri dalam sebuah hadis: Sesungguhnya Nabi SAW mengerjakan solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Aisyah berkata kepada Baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang? Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?” Hadis riwayat al-Bukhari
Orang yang rajin melakukan solat sunat tahajud mendapat 9 kelebihan. 5 daripadanya diperoleh di dunia, manakala selebihnya akan diperoleh di akhirat.
5 kelebihan yang diperoleh di dunia:
1. Allah akan menyelamatkannya daripada bencana
2. Tanda berkat pada wajahnya
3. Disukai oleh ramai manusia
4. Allah jadikannya seorang yang bijaksana
5. Bila bercakap penuh hikmah
4 kelebihan yang akan diperoleh di akhirat:
1. Wajahnya bercahaya
2. Diringankan hisab
3. Menyeberangi titian sirat seperti kilat yang menyambar
4. Dapat buku amalan dengan tangan kanan
"Ya Allah…ringankan tubuh badan kami untuk bangun mengadap dan bermunajat padaMu di sepertiga malamMu…"