~ awal awal agama- mengenal ALLAH SWT ~

Rasulullah SAW berjuang selama tiga belas tahun di Makkah. Itulah masa Rasulullah berdakwah dan mengumpul pengikut-pengikutnya. Mula-mula secara sembunyi-sembunyi dan kemudian secara terang-terangan.

Dalam masa tiga belas tahun itu, Rasulullah hanya 'membawa Tuhan' dan memperkenalkan Tuhan kepada para Sahabat. Dalam majlis yang rasmi atau tidak rasmi, dalam majlis keramaian, apabila berjalan-jalan dengan para Sahabat, malahan pada setiap masa dan ketika Rasulullah menceritakan tentang Allah dan hari Akhirat. Tentang kebesaran, kesucian dan kekuasaan-Nya. Tentang kasih sayang, keampunan dan belas ihsan-Nya. Tentang kuasa dan iradah-Nya dan tentang segala-gala sifat yang ada pada Tuhan.

Segala sifat Allah itu sangat-sangat dihayati oleh para Sahabat hingga mereka menjadi cukup kenal dengan Tuhan. Bukan setakat tahu, tetapi cukup kenal. Mereka menjadi orang-orang yang arifbillah. Hati-hati mereka cukup hampir dengan Tuhan, cukup sensitif dan peka dengan Tuhan. Mereka cukup terangsang dengan kebesaran dan keagungan Tuhan.

Akhirnya jadilah para Sahabat, orang-orang yang sangat cinta dan takut kepada Tuhan. Dalam hidup mereka, Allahlah yang menjadi perkara utama. Allahlah yang bertakhta di hati-hati mereka. Ramai di kalangan Sahabat yang menjadi mabuk dengan Tuhan kerana terlalu sangat takut dan rindunya.

Perasaan mabuk, takut dan cinta ini sangat kuat dan mendalam hingga adakalanya hati-hati para Sahabat tidak dapat menanggung bebannya. Ada Sahabat yang terus mati kerana mengingatkan kebesaran Allah. Ada yang mati apabila ada orang menyebut nama Allah. Manakala yang jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri lebih ramai lagi. Bila disebut nama Allah, gementar hati-hati mereka.

Namun dengan hati yang begitu mabuk dan rindu pada Tuhan, mereka tidak mempunyai jalan atau cara untuk melepaskan perasaan mereka. Mereka tidak ada cara untuk berhubung atau berinteraksi dengan Tuhan. Maka terpaksalah mereka menanggung dan memendam rasa mabuk dan rindu itu. Mereka seolaholah orang yang begitu dahaga tetapi tidak mendapat air untuk diminum. Mereka seperti orang yang tersangat lapar tetapi tidak ada apa untuk dimakan. Mereka seperti orang yang sangat rindukan Kekasih Agungnya tetapi tidak dapat bersua dan bertemu untuk memuji-muji dan meluahkan segala perasaan yang terpendam dan terbuku di hati. Allah biarkan sahaja mereka jadi begitu.

Hanya pada tahun yang kesebelas, baru berlaku peristiwa Israk Mikraj. Jadi, hanya pada tahun kesebelas baru datang perintah solat. Itulah satu hadiah yang tersangat besar yang Allah kurniakan kepada para Sahabat supaya mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan-Nya. Supaya mereka dapat melepaskan segala perasaan rindu dan dendam yang selama ini mereka tanggung. Supaya mereka dapat mengadu, berbicara, berbisik-bisik dan meminta-minta kepada Tuhan. Supaya mereka dapat meluahkan segala isi hati mereka dan bermanjamanja dengan Tuhan. Sungguh solat itu satu kurniaan yang amat besar bagi para Sahabat. la ibarat air di kala dahaga. la ibarat makanan di kala lapar. la ibarat pertemuan dengan kekasih yang sangat dirindukan.


Popular posts from this blog

6 pesanan untuk wanita

MUZAKAROH IMAN YAKIN

Hati dan Amal mu