Selamat Hari Lahir


Umur adalah nikmat di antara nikmat yang besar yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada manusia. Nikmat umur ini tinggi nilainya dan tiada tandingan baginya. Dengan nikmat umur ini memberi kesempatan untuk kita menikmati perkembangan dunia dan dapat pula beramal dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Apa yang menjadi persoalan kita ialah bagaimana manusia memanfaatkan usia yang masih berbaki ini. Hakikatnya, menurut pandangan Islam, usia sebagai suatu saham kerana manusia akan memperolehi samada kebaikan atau keburukan di akhir kehidupan nanti yakni di alam mahsyar berpandukan kepada usia yang digunakan.

Menurut sebuah hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :-

Maksudnya :

Daripada Abi Bakrah daripada bapanya, sesungguhnya seorang lelaki telah bertanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, katanya : Wahai Rasulullah manusia bagaimanakah yang baik sifatnya? Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, siapa yang panjang umurnya dan baik amalannya. Lelaki itu bertanya lagi : Manusia bagaimanakah yang buruk sifatnya? Sabda Baginda: Siapa yang panjang umurnya dan buruk amalannya.
(Riwayat Imam Ahmad).

Dalam hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa umur itu hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya kerana jika kita tidak bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala, maka kita tidak akan melihat usia kita sebagai amanah Allah Subhanahu Wataala, sebaliknya mengambil kesempatan melakukan apa sahaja untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu tetapi bagi kita yang sedar bahawa usia itu amanah Allah Subhanahu Wataala, maka kita akan memberikan tumpuan ke arah jalan yang baik dan beramal soleh maka di sini bermakna kitalah yang menentukan buruk baik amalan dalam meniti usia kita.

Memandangkan betapa berharganya usia itu kepada manusia, maka itulah sebabnya agama Islam sangat menitik beratnya supaya manusia memahami dan mengetahui yang usia itu adalah amanah daripada Allah Subhanahu Wataala.

Suatu hadith lain menjelaskan, daripada Abi Burdah Al-Aslami, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bahawa setiap anak Adam tidak akan berganjak tapak kakinya dari kanan ke kiri, depan ke belakang sehingga Tuhan bertanya empat perkara :-

1. Tentang usia bagaimana dihabiskannya.

2. Tentang harta dari mana dan ke mana dihabiskannya.

3. Tentang ilmu, apakah yang dimanfaatkan dengannya.

4. Waktu bertenaga, bagaimanakah dihabiskan tenaga itu.

Di dalam makna hadith yang baru dibacakan tadi, dua perkara yang perlu kita fikirkan ialah:-

Pertama : Soal umur, kita akan disoal dan dipertanggung jawabkan mengenai usia kita bagaimanakah kita menggunakannya. Jika kita menghabiskan usia dengan perkara yang baik, maka kebaikanlah yang kita akan nikmati, sebaliknya jika kita menghabiskan usia kita dengan melakukan keburukan maka keburukanlah yang akan diterima.

Kedua : Mengenai tenaga, ini juga melibatkan usia, oleh itu selagi kita dipanjangkan usia dan masih bertenaga, maka gunakanlah tenaga itu dengan baik bagi mendapat kebaikan. Janganlah pula usia dan tenaga itu disalahgunakan bagi melakukan perkara mungkar.


Dalam hal umur ini, patutlah kita bertanya kepada diri kita, apakah kita telah menunaikan tanggungjawab kita dalam meniti usia kita yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala? Kita harus ingat, orang yang dipanjangkan usia, haruslah mengambil iktibar terhadap orang lain yang tidak dipanjangkan usianya. Mudah-mudahan akan dapat menyedarkan diri kita supaya akan mempertingkatkan amal ibadat kita kepada Allah Subhanahu Wataala dan sentiasa bermohon kepada Allah Subhanahu Wataala supaya usia kita diberkati.

Jika kita merenung usia kita yang panjang, setentunya tidak sama lagi dengan keadaan semasa muda kita, maka ketika itulah kita akan menyedari bahawa usia itu sudah sampai penghujungnya. Alangkah eloknya kita memperbanyakkan taubat dan mempertingkatkan amal ibadat kita kepada Allah Subhanahu Wataala. Ingatlah wahai kaum muslimin sekalian, bahawa Allah Subhanahu Wataala memberi peluang kepada kita untuk memanfaatkan umur ke arah kebaikan maka janganlah disia-siakan umur kita yang masih ada dan kerjakanlah segala suruhannya dan tinggalkanlah segala keburukan dan kemungkaran untuk bekalan di akhirat kelak mudah-mudahan kita tergolong daripada orang-orang yang beroleh kemenangan dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wataala di akhirat nanti. Mungkin ketika muda kita tidak melakukan kerja yang baik, jadi alangkah indahnya umur yang masih ada itu digunakan untuk mendapatkan semula kebaikan yang tidak diperolehi ketika muda.

Hal ini telah pun digambarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam sebuah hadith baginda yang diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim dan Imam Al-Baihaqi daripada Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma yang bermaksud

Pergunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan : Pergunakanlah kesempatan sihatmu sebelum datang sakitmu. Pergunakanlah kesempatan lapang mu sebelum datang masa sibuk mu. Pergunakanlah hari mudamu sebelum datang hari tuamu. Pergunakanlah kesempatan waktu engkau kaya sebelum datang kemiskinanmu. Pergunakanlah kesempatan masa hidupmu sebelum datang saat kematianmu.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 281:-

Tafsirnya :
Dan peliharalah diri mu dari azab yang terjadi pada hari yang kamu semua dikembalikan keapda Allah, kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakan, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya.


sumber: http://www.masjid.gov.bn/teks_khutbah/1424/Muharram/18.htm

Popular posts from this blog

6 pesanan untuk wanita

MUZAKAROH IMAN YAKIN

Hati dan Amal mu